Gergasi teknologi dunia, Apple baru baru ini telah mengumumkan tiga model iPhone baru serta jam tangan Apple baru dalam majlis pelancaran produk terbarunya bagi sesi 2018 ini, yang akan menjengah ke pasaran tidak lama lagi.

Ketika ini, syarikat Apple sedang hangat mempromosikan trio telefon mudah alih baru iaitu iPhone XR, iPhone XS dan iPhone XS Max serta Apple Watch 4.

Produk yang mendapat perhatian ramai mestilah iPhone. Mari kita semak beberapa fakta menarik tentang iPhone XS dan iPhone XS Max.

Paparan Skrin Terbesar Dalam Sejarah iPhone!

Beza antara kedua model XS ini hanya pada saiz paparan skrinnya. iPhone XS bersaiz pepenjuru 5.8” manakala iPhone XS Max bersaiz 6.5”. Ini menjadikan iPhone XS Max sebagai iPhone yang mempunyai paparan skrin terbesar atau terluas dalam sejarah Apple! Jika dibandingkan dengan iPhone 8 saiz ukuran peranti adalah lebih kurang sama, namun paparan pada iPhone 8 lebih kecil.

Model iPhone Termahal

iPhone memang diketahui produk eksklusif yang mahal. Bukan sahaja iPhone, malah kesemua produk daripada Apple adalah agak tinggi harganya dan sememangnya sesuailah dengan kualitinya. Namun, ramai yang mengeluh kerana harganya telah naik berbanding paras biasa harga model iPhone terdahulu.  Harga bagi iPhone XS bermula dari $999 (RM 4,146.35) dan iPhone XS Max bermula dari $1,099 (RM 4,561.40), kedua-duanya adalah harga untuk storan 64 GB.

Tiga variasi warna yang klasik dan anggun

iPhone memang sinonim dengan warna peraknya atau Silver. Dua warna baru yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu juga tersedia untuk model XS ini iaitu dalam warna Gold (Emas) dan Space Grey (Kelabu/hitam).

Terdapat Alternatif Yang Lebih Murah Dan Meriah

Jika model iPhone XS agak mahal buat anda, anda boleh pertimbangkan membeli iPhone XR yang sama-sama dikeluarkan baru-baru ini. Ianya lebih murah kerana beberapa ciri atau material digantikan dengan yang lebih ekonomi.

Seperti skrin iPhone XR yang digunakan adalah skrin LCD. Selain itu, dengan iPhone XR juga anda boleh mendapat lebih banyak pilihan warna yang agak mengancam di luar norma iPhone biasa seperti kuning, merah dan biru.

Sebutan Betul iPhone XS

Sebenarnya, iPhone X edisi pertama sebelum ini telah pun keluar tahun lepas, dan ramai memperkatakan tentang sebutannya yang tidak seperti yang difikirkan ketika itu. Mungkin wajar diingatkan kembali untuk siri baru ini, bahawa ia tidak disebut sebagai huruf X tetapi “Ten” iaitu perkataan Bahasa Inggerisnya yang bermaksud sepuluh dan X itu merujuk kepada nombor sepuluh dalam angka Roman. Walaupun tiada siri iPhone 9 dikeluarkan, hakikat harus diterima bahawa ia adalah iPhone 10.

Cip Pemproses Telefon Pintar Yang Paling Canggih

Kedua-dua iPhone XS menggunakan cip A12 Bionic. Ia boleh mengenal corak anda atau belajar tingkah laku anda dan kemudiannya meramal untuk memberikan fungsi yang lebih cekap. Cip A12 Bionic membantu terutama dalam penggunaan kamera mengenal wajah dan memberikan pengalaman permainan yang lebih lancar.

Dengan cip ini juga ia mampu menghasilkan emoji wajah pengguna dengan tepat dari segi gerak badan dan kerut wajah dengan mengesan lebih dari 50 otot wajah menggunakan kamera TrueDepth.

Pengenalan Wajah atau Face ID Serba Baru

Keselamatan privasi telefon mudah alih anda lebih terjamin kerana sekarang anda boleh menggunakan wajah anda sebagai kata laluan.  Dengan teknologi sistem kamera TrueDepth, Secure Enclave dan Neural Engine menjadikan pengesahan wajah pada telefon pintar anda lebih terjamin.

Jangan risau sekiranya persekitaran anda gelap ketika melakukan pengesahan wajah untuk log masuk ke dalam telefon anda kerana iPhone XS mempunyai sistem Flood Illuminator iaitu sistem cahaya inframerah yang membantu mengenal pasti wajah anda walaupun dalam keadaan bergelap.

Fungsi Kamera Yang Lebih Terkini dan Profesional

Ciri-ciri kamera juga dipertingkatkan. iPhone XS mempunyai sistem dwi-kamera 12MP yang menggabungkan kecanggihan kameranya dengan kepintaran sistemnya melalui algoritma terkini yang mampu menghasilkan gambar yang bagus.

Teknologi tersebut dipanggil Smart HDR, yang memberi lebih perincian pada cahaya dan bayang. Kawalan Dalaman Dan Bokeh juga menjadikan gambar lebih menarik dan kelihatan profesional. Ia dapat membuatkan latar menjadi kabur bagi penghasilan gambar potret yang lebih menarik.

Telefon Pintar Yang Tahan Lasak & Kalis Air

Iphone XS dan XS Max mempunyai rating ketahanan debu dan air IP68. Ia mampu bertahan terendam dalam air sehingga 30 minit dengan kedalaman 2 meter. Ketahanannya juga adalah daripada jenis bahan yang dipakai untuk menghasilkannya. Untuk badan iPhone itu digunakan keluli tahan karat gred pembedahan.

Berada Di Pasaran Malaysia Tidak Lama Lagi!

iPhone XS akan boleh dibuat tempahan awal bermula 14 September 2018 dan akan boleh didapati di kedai-kedai terpilih pada 21 September 2018. Namun, jangan teruja dahulu, sebenarnya, tarikh tepat itu hanya bagi penduduk di Amerika Syarikat.

Namun dijangka bagi rakyat Malaysia adalah sekitar tarikh tersebut juga atau mungkin pada bulan Oktober hadapan. Sama-sama kita nantikan pengumumannya dalam waktu terdekat ini.