Sejak awal tahun 2018 ini, telah banyak ura-ura tentang kenderaan baru daripada Perusahaan Otomobil Malaysia Sdn. Bhd. (PROTON).

Perkara ini telah disahkan dengan majlis pra-tonton media yang pertama bagi kenderaan berkenaan pada awal September 2018 baru-baru ini, yang dihadiri oleh pelbagai media massa tempatan.

Mari kita semak 10 fakta menarik mengenai Proton X70 yang bakal menjadi buruan ramai tidak lama lagi.

Kenderaan Jenis Utiliti Sukan (SUV) Pertama Proton

Yang paling mengujakan rakyat Malaysia adalah Proton X70 baru ini adalah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), dan ia adalah yang pertama seumpamanya dikeluarkan oleh Proton.

Asal Usul Pemilihan Nama X70

Sebenarnya, pemilihan nama Proton X70 adalah berdasarkan undian 60% daripada 90,000 orang yang menyertai pertandingan memilih nama kenderaan itu secara dalam talian sejak bulan April 2018 yang lepas. Nama lain yang dicadangkan dan tidak berjaya ialah PX7, X7 dan X700. Relevan nama Proton X70 juga adalah pada trend penamaan kereta di pasaran dunia sekarang yang menggunakan sistem abjad angka yang akan seterusnya memudahkan penjualan X70 di peringkat global. Huruf X biasanya dipakai untuk SUV dan 70 adalah gambaran kelas bagi segmen SUV.

4 Varian Kenderaan Yang Disertakan Pakej Menarik

Terdapat 4 jenis varian iaitu X70 Standard 2WD, X70 Executive 2WD, X70 Executive AWD dan X70 Premium 2WD. Keempat-empat varian ini mempunyai ciri-ciri berbeza dan disesuaikan untuk memberi nilai harga bervariasi daripada yang mampu milik kepada yang lebih canggih dan mewah.

Lebih Pilihan Untuk Warna Badan Proton X70

Terdapat lima warna berbeza bagi badan luaran Proton X70 ini iaitu Snow White (Putih), Amor Silver (Perak), Jet Grey (Kelabu), Cinnamon Brown (Coklat) dan Flame Red (Merah). Warna merah hanya tersedia bagi varian X70 Premium 2WD yang memiliki semua kelima-lima warna tersebut.

Warna badan bagi varian X70 Standard 2WD pula ialah hanya putih dan perak. Manakala bagi X70 Executive 2WD warna yang boleh didapati ialah putih, perak, kelabu dan coklat. Dan bagi varian terakhir, X70 Executive AWD, warnanya ialah putih, kelabu dan coklat.

Bagi warna dalamannya pula, terdapat beberapa pilihan iaitu fabrik hitam untuk varian Standard, kulit hitam untuk Executive dan kulit coklat untuk Premium.

Kamera 360 Darjah Dalam 3D

Kesemua varian dilengkapi kamera. Bagi X70 Standard 2WD, hanya kamera undur dipasang. Bagi 3 varian lain, ia dilengkapi dengan kamera 360 darjah yang dapat membantu pemandu mengenal pasti halangan di persekitaran kenderaan dengan lebih menyeluruh.

Sistem yang terhubung langsung dengan kamera juga adalah Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan yang memberi kawalan kepada sistem brek kecemasan automatik, kawalan pandu tersuai serta amaran keluar.

Kelengkapan Lain Yang Menggamit Rasa

Proton X70 ini dilengkapi dengan 6 beg udara dan 17-18 inci Rim. Port USB juga tersedia di banyak tempat termasuk juga di tempat duduk belakang dan juga di bahagian cermin bagi tujuan meletakkan kamera papan pemuka kereta bagi keselamatan yang lebih bagus.

Selain itu, kelengkapan tambahan pada model Premium adalah bumbung panoramik iaitu bumbung gelas yang lebih besar daripada biasa.

Pelancaran Pada Hujung Tahun 2018

Mesti ramai yang tidak sabarkan, menunggu untuk mencuba Proton X70 ini? Jangan khuatir, ia akan pasti dilancarkan pada hujung tahun 2018 ini juga. Bersiap-sedialah apa yang patut terutama duit muka dan kosongkan jadual anda untuk sesi uji pandu!

Harga Proton X70 dari RM85,888 ke RM138,888

Sememangnya, sebab utama mengapa ramai di kalangan kita teruja dengan SUV pertama Proton ini adalah kerana jangkaan bahawa kenderaan mewah tempatan ini akan berharga mampu milik berbanding dengan SUV keluaran negara luar.

Sebenarnya, pada ketika ini, harga rasmi kenderaan ini tidak didedahkan lagi oleh Proton termasuklah semasa majlis pra-tonton bersama media yang lepas. Bagi senarai harga yang tersebar baru-baru ini adalah seperti berikut:

  1. X70 Standard 2WD – RM 85,888
  2. X70 Executive 2WD – RM 96,888
  3. X70 Executive AWD – RM 113,888
  4. X70 Premium 2WD – RM 138,888

Namun, ada juga ura-ura mengatakan bahawa sebenarnya kesemua varian Proton X70 ini berharga di bawah RM 100 ribu!

Tiada Caj Cukai SST!

Akibat peralihan kuasa pemerintahan kepada parti politik yang lain sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) beberapa bulan yang lepas, akhirnya GST dimansuhkan, tetapi tidak lama kemudian, cukai baru iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan sejak 1 September 2018 baru-baru ini.

Jangan risau, keputusan bagi perlaksanaan cukai ini belum dimuktamadkan lagi. Tetapi kebarangkalian besar, Proton akan menyerap kos cukai ini!

Tempahan Dibuka Sekarang!

Pada majlis pra-tonton media Proton X70 baru-baru ini yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar itu sendiri iaitu Abdul Rashid Musa, memberitahu tempahan bagi kenderaan ini akan mula dibuka sehari selepas majlis tersebut.

Tempahan adalah berupa bayaran deposit sebanyak RM 1,000 dan boleh dilakukan di cawangan terpilih di serata negeri di Malaysia. Jadi, tunggu apa lagi? Dapatkan segera Proton X70 anda! Sokonglah produk Malaysia.