Semua sedia maklum yang bulan September tahun merupakan bulan yang paling banyak cuti yang bertindih dengan hujung minggu. Apa kata manfaatkan cuti panjang hujung minggu bersama keluarga mahu pun kawan kawan untuk melawat lokasi percutian unik di dalam Malaysia.

Kami senaraikan lima lokasi yang boleh anda lawati dan berseronok sambil menghilangkan tekanan kerja – selain dapat mengeratkan silaturrahim. Apalah erti hidup tanpa percutian yang bermakna.

Cove 55, Sarawak

Terletak di utara Sarawak, Cove 55 mengambil tempat di daerah Santubong yang terkenal sebagai sebuah bandar yang aman, pemandangan bukit bukau dan nyamannya tiupan bayu laut.

Cove 55 terletak di pinggir laut ini menyediakan pengalaman berehat yang tidak mungkin anda lupakan. Gunung Santubong pun hanya 5 minit dari hotel ini.

Dash Resort, Langkawi

Jika Bali terlalu jauh untuk anda, jangan risau kerana salah sebuah jenama hotel terkenal di Bali kini sudah membuka cawangan baru mereka di Pulau Langkawi, Kedah.

Mengambil tempat di Pantai Tengah yang sememangnya menjadi tumpuan ramai pelancong, Dash Resort menawarkan percutian yang tenang dengan bilik hotel selesa berserta pemandangan laut yang pastinya membuatkan anda tidak akan lupa dengan percutian ini.

Terrapuri Heritage Village, Terengganu

Diinspirasi dari rekabentuk istana Terengganu abad ke-17, Terrapuri Heritage Village menampilkan 20 rumah Melayu antik yang dibina tidak menggunakan sebarang paku.

Menarik bukan? Terletak di Pantai Penarik, perjalanan ke pantai Timur tidak lengkap jika anda tidak mengambil peluang untuk menginap di hotel yang penuh dengan sejarah dan budaya Melayu ini.

The Dusun, Negeri Sembilan

The Dusun tidak perlu diperkenalkan lagi untuk mereka yang suka 'lari' ke hutan untuk mencari ketenangan dari sibuknya hidup. Selain menghabiskan masa tidak berbuat apa apa di sini, anda juga boleh meredah hutan (jungle trekking), melihat spesis burung (bird watching) atau belajar tentang cara hidup Orang Asli di sini.

Lantern Hotel, Kuala Lumpur

Tidak mahu keluar jauh dari Kuala Lumpur? Tidak mengapa. Di bandar besar ini juga anda pelbagai tempat penginapan unik untuk staycation anda.

Lantern Hotel jadi pilihan kami kerana lokasinya yang terletak di tengah tengah Chinatown memudahkan anda untuk berjalan kaki meneroka sisi kota yang tidak pernah anda kunjungi sebelum ini.