Pada zaman sekarang ni, kalau kita berbicara tentang kahwin, jawapan yang sering kita dapat adalah tak cukup bajet, hantaran mahal, tak mampu nak kumpul duit untuk majlis dan sebagainya.

Secara realitinya hampir semua orang nak kahwin tetapi disebabkan oleh peningkatan kos dan perbelanjaan perkahwinan masa kini telah menyebabkan ramai orang berputus asa dengan niat mereka untuk membina sebuah masjid.

Walaubagaimanapun, ianya bukan mustahil untuk kita usahakan bagi menghalalkan hubungan kita dengan pasangan tercinta kita. Apa yang kita perlukan adalah strategi untuk mengumpul duit, usaha, tawakal dan doa. Oleh itu, bagi yang berniat untuk mendirikan rumah tangga dan tak tahu bagaimana untuk mengumpul duit bagi merealisasikan hajat tersebut, berikut kami senaraikan 7 tips kumpul duit kahwin yang anda boleh guna pakai supaya anda sentiasa bersedia.

Sediakan Tabung Berasingan

Amalan menabung ini sudah lama menjadi satu praktikal individu yang ingin menyimpan duit untuk pelbagai tujuan. Salah satu tujuan menabung yang anda boleh gunakan adalah untuk berkahwin. Anda boleh sediakan satu tabung besar bersama pelekat bertulis bagi memastikan anda tak gunakannya sewenang-wenangnya kecuali untuk tujuan asal menabung anda itu.

Anda bukan sahaja dapat asingkan duit khas untuk kahwin, malah ia akan menjadi satu tabiat untuk anda menabung sekiranya anda berniat untuk berbelanja untuk tujuan yang lain. Caranya mudah saja, tetapkan jumlah tetap yang anda perlu masukkan ke dalam tabung anda, misalnya RM50 atau RM20 sehari, kemudian kuncikan tabung anda dengan mangga. Anda juga boleh tetapkan kesemua duit syiling yang anda dapat akan dimasukkan ke dalam tabung anda. Lekat satu pelekat bertulis sebagai satu peringatan supaya anda tak menggunakan duit tersebut.

Buatkan Satu ‘Planner’ atau Pelan Khas

Perancangan yang baik akan memudahkan segala matlamat perjalanan anda. Ianya merupakan langkah pertama yang anda perlu lakukan sebelum anda teruskan niat untuk mengumpul duit. Perkara yang perlu dimasukkan ke dalam perancangan anda ini termasuklah tarikh jangkaan anda ingin berkahwin, jumlah perbelanjaan yang anda perlukan, kos-kos berkahwin dan sebagainya.

Dengan adanya perancangan yang teliti, anda boleh mula mengumpul duit dengan lebih lancar dan lebih mudah. Anda hanya perlu ikut pelan yang anda telah buat dan semuanya akan mengikut rancangan. Ianya sesuai dengan pepatah kata seribu langkah perjalanan bermula dengan langkah yang pertama. Pastikan anda mengikuti perancangan yang anda telah buat ini, jika tidak, ianya agak susah untuk anda kumpul duit dengan lancar.

Berjimat Cermat Ketika Berbelanja

Ianya tak dinafikan bahawa kos perbelanjaan seharian hari ini semakin meningkat bukan saja kos barang elektronik, malah juga termasuk barang dapur, perbelanjaan untuk makan seharian, rumah, tanah dan lain-lain. Namun begitu, jika anda mempunyai niat untuk berkahwin, anda perlulah berjimat cermat dalam perbelanjaan anda supaya ada sebahagian wang yang anda boleh asingkan untuk digunakan sebagai perbelanjaan kahwin anda.

Jika anda tak simpan dari sekarang, ianya akan memakan masa untuk anda kumpulkannya semula untuk duit kahwin anda. Oleh itu, apa yang anda boleh buat adalah tetapkan perbelanjaan maksimum harian anda dan jangan berbelanja lebih daripada nilai tersebut. Elakkan daripada membeli barangan sia-sia dan kurangkan makan di restoran mahal. Segala pengorbanan yang anda buatkan ini akan memudahkan urusan anda untuk berkahwin.

Kumpulkan Duit Bersama

Biasanya, apabila dikaitkan dengan usaha untuk kumpul duit kahwin, kebanyakannya datang daripada pasangan lelaki. Kadangkala kita terdengar, ada yang sanggup menjual kereta dan motosikal, ada yang bekerja lebih masa, ada yang mempunyai dua atau tiga pekerjaan, semuanya semata-mata untuk berkahwin.

Oleh itu, bagi meringankan beban sebelah pihak, ianya disarankan supaya anda bekerjasama dengan pasangan anda supaya dapat mengumpul duit kahwin bersama-sama daripada hanya mengharapkan usaha tersebut daripada pihak lelaki. Ia bukan saja meringankan beban pasangan anda, malah anda akan mempercepatkan lagi proses untuk anda mengumpul duit.

Sediakan Bajet Sederhana untuk Majlis

Ianya telah menjadi satu trend bagi kebanyakan pasangan yang ingin berkahwin untuk mengadakan majlis kahwin mereka besar-besaran. Ini kerana ianya telah menjadi satu ikutan terhadap artis dan selebriti kesayangan mereka. Disebabkan oleh trend tersebut, ramai pasangan sanggup meminjam daripada Ah Long, dan institusi kewangan yang lain bagi merealisasikan majlis impian mereka.

Jika anda betul-betul ingin berkahwin bagi menghalalkan hubungan anda dengan pasangan dan menamatkan zaman bujang anda, anda tak perlu berbelanja banyak untuk majlis anda. Penyediaan bajet sederhana untuk majlis perkahwinan anda akan membolehkan anda untuk mengumpul duit kahwin dengan mudah dan tenang tanpa sebarang masalah pada hari lain kelak.

Mula Menabung Dari Awal

Jika anda ingin berkahwin dalam masa yang singkat dan baru nak mula menabung, ia akan menjadi agak sukar untuk anda mencapai jumlah matlamat anda tersebut dalam masa yang singkat. Oleh itu, kami cadangkan sekiranya anda ingin berkahwin, tetapkan satu tarikh yang anda ingin berkahwin dan mmula menabung awal. Ianya untuk memastikan supaya anda dapat mencapai matlamat tabungan anda sebelum majlis anda berlangsung.

Banyakkan Berdoa

Setelah anda laksanakan semua usaha yang patut, perkara seterusnya adalah dengan bertawakal dan berdoa supaya niat anda dapat dipermudahkan lagi oleh Allah S.W.T. Jika anda telah usaha, insya Allah, segala niat dan hajat anda dapat dikabulkan.

Kesimpulannya, ianya taklah susah untuk anda mendirikan rumah tangga dengan pasangan tercinta anda. Anda hanya perlu bijak dalam menguruskan perbelanjaan dan kewangan anda supaya impian anda untuk berkahwin dapat dicapai dengan lebih mudah.